UTUSAN MALAYSIA : JAKIM nafi SMS biskut Munchy’s dicampur arak

Published by Utusan Malaysia  |

 

BATU PAHAT 14 Sept – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan kandungan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu yang mendakwa pihaknya mendapati arak dicampurkan dalam biskut di kilang pembuatan biskut jenama Munchy’s dalam satu serbuan di sini, baru-baru ini.

Menurut kenyataan Bahagian Hab Halal jabatan itu yang dipaparkan di portal Halal, www.halal.gov.my, pihak Jakim juga tidak pernah mengadakan serbuan itu, apatah lagi menemui stor simpanan arak di kilang tersebut seperti tertera pada SMS palsu itu.

SMS itu yang disebarkan sejak beberapa hari lalu, kononnya dihantar oleh pengawai Jakim di Putrajaya yang bernama Haji Jalil Raihan.

Jakim dalam kenyataannya turut menafikan bahawa pengawainya yang mengirimkan SMS itu kerana tiada pengawai Jakim yang bernama Haji Jalil Raihan.

Menurut kenyataan itu lagi, produk yang dikeluarkan oleh kilang Munchy’s di sini telah mendapat Sijil Pengesahan Halal dari Jakim yang masih sah sehingga 31 Julai 2013.

Sehubungan itu, Jakim menasihatkan pengguna agar merujuk kepada portal halal di www.halal.gov.my untuk mendapatkan pengesahan tentang status halal sesuatu produk.

Sementara itu, Ketua Pengawai Eksekutif The Munchy’s Group, C.K. Tan berkata, dia sendiri terperanjat dengan khabar angin yang diserbakan melalui SMS itu.

“Sebenarnya banyak khabar angin sebegini tersebar tetapi saya sendiri inging memberi jaminan bahawa pengeluaran biskut jenama Munchy’s adalah melalui proses kawalan kualiti yang ketat.

“Pelanggan juga dijemput datang ke kilang untuk melihat sendiri bagaimana biskut Munchy’s dihasilkan. Kami akan terus menghasilkan biskut-biskut berkualiti dan halal untuk pelanggan-pelanggan kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Biskut jenama Munchy’s adalah produk tempatan yang mula diperkenalkan pada 1993 dan telah menembusi pasaran kira kira 60 negara.


Rasima from Indonesia Crowned Miss Munchy’s Fun & Fit (The Star Online)

Rasima from Indonesia crowned Miss Munchy’s Fun & Fit POPULAR biscuit Munchy’s crowned its Miss Munchy’s Fun & Fit at the Miss Chinese Cosmos Pageant Southeast Asia 2009 recently....

Munchy’s Amazing Trip – (Nanyang Siang Pau)

Published by Nanyang Siang Pau